Topik 1

Sumber Inspirasi Sebagai Penggerak Diri

Perbincangan :-

  1. Pengenalan kepada inspirasi
  2. Definisi inspirasi
  3. Kepentingan sumber inspirasi
  1. SUMBER INSPIRASI SEBAGAI PENGGERAK DIRI

Bila kita melihat perkataan inspirasi, biasanya kita akan mengaitkan ianya dengan suatu yang positif, baik dan membina. Benar! Perkataan inspirasi biasa kita kaitkan dengan motivasi, ilham, ketabahan, kejayaan hidup dan sebagainya. Kita tanya pada orang-orang yang berjaya, kebanyakan mereka akan memberikan beberapa faktor yang menyebabkan mereka berjaya dan apa kata mereka lagi ? Keluarga mereka merupakan sumber inspirasi kejayaan mereka, atau mereka mendapat sumber inspirasi dengan melihat tokoh-tokoh terkenal yang telah berjaya sebelum ini. Tidak kurang juga yang akan mengatakan sumber inspirasi mereka datang dari sumber-sumber lain seperti pesanan orang tua mereka, pengaruh rakan mereka, kesedaran tentang kemiskinan, penderitaan orang-orang miskin dan sebagainya. Pendek kata sumber inspirasi ini merupakan antara sebab penting yang menyebabkan mereka mula menyimpan cita-cita dan keazaman yang kuat untuk berusaha untuk sesuatu kejayaan. Tapi apakah dia inspirasi itu? Kenapakah ianya penting dalam kehidupan dan kejayaan seseorang individu. Bagaimanakah ianya berfungsi sehingga ianya dapat menimbulkan motivasi, keazaman, ketabahan, semangat, tenaga dan sebagainya? Apakah kaitannya dengan keberkesanan dan keupayaan seseorang individu tersebut untuk menghasilkan kejayaan? Bagaimana kita boleh mendapatkan sumber inspirasi? Adakah kita berminat untuk mengetahui jawapannya dan kita sanggup berusaha untuk mendapatkan jawapannya? Buku ini ditulis untuk menjawab persoalan-persoalan tersebut. Malah dalam buku ini juga kita akan mengetahui pelbagai lagi kaedah untuk memperbaiki tahap pencapaian kita dalam kehidupan seharian. Mungkin terlalu optimistik untuk menyatakan bahawa buku ini kan mengupas segala persoalan mengenai inspirasi dan kaedah-kaedah peningkatan tahap kehidupan kita, tapi apa yang pasti selepas menghabiskan seluruh bab-bab dalam buku ini anda akan menjadi seorang individu yang mempunyai pandangan yang lebih terbuka mengenai kehidupan dan kejayaan dan pastinya anda akan menjadi individu yang lebih berpengetahuan dan lebih berinspirasi. Apa yang penting ialah kita menumpukan apa yang ada dan apa yang sedang berlaku dan merangka serta merancang masa depan dengan lebih teliti dan sistematik. Dengan beberapa bab yang akan dibincangkan dalam muka surat selanjutnya, pastinya kita akan lebih optimistik dan lebih yakin dalam kehidupan ini. Untuk bab-bab selanjutnya, melalui bab motivasi, saya akan menyentuh tentang bagaimana kita dapat meningkatkan tahap motivasi kita. Bagaimana dengan mengetahui bahawa kita mampu mengubah keadaan diri, membentuk persekitaran dan mengawal tahap motivasi diri, kita mampu untuk menjadi individu yang lebih menarik dan lebih rajin dan cekal. Tanpa minat dan keazaman yang tinggi, sudah pasti kita akan berdepan dengan pelbagai rintangan. Oleh itu, maklumat-maklumat yang berkaitan dengan minat dan keazaman ini akan saya kupaskan dalam bab selanjutnya iaitu Minat dan Keazaman. Meningkatkan serta menanam sifat tabah akan dibincangkan dalam bab Ketabahan dan Kecekalan. Bab ini akan memberikan beberapa maklumat dan kaedah yang dapat kita gunakan untuk menghadapi situasi-situasi genting dan kita akan mempelajari bagaimana kita dapat mengubah penerimaan diri kita menjadi sesuatu yang akan mendorong kita untuk lebih berjaya. Bab-bab Dedikasi, Keyakinan dan Inisiatif merupakan bab-bab yang akan menyentuh tentang nilai-nilai kepercayaan serta nilai-nilai moral yang perlu hadir dalam mengharungi kehidupan ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan dihiasi dengan sifat-sifat mulia seperti kejujuran dan amanah. Dengan nilai-nilai murni ini sudah pasti kita akan menjadi lebih bahagia dan lebih gembira untuk memandang kehidupan ini dan seterusnya memberikan suatu makna untuk diri kita dan individu di sekeliling kita.

Dalam dua bab terakhir iaitu Bab Perancangan dan bab Usaha Gigih akan membincangkan garis panduan bagaimana kita perlu merancang masa, menggariskan matlamat, menentukan kepentingan dan lain-lain aspek pengurusan untuk kita menguruskan diri dari segi rohani dan jasmani untuk menjadi individu yang lebih cekap dan berkesan. Bukankah begitu?

Oleh itu sebelum kita meneruskan perbincangan kita untuk bab-bab selanjutnya, adalah penting bagi kita memahami serta mempelajari apakah yang sering didefinisikan sebagai inspirasi itu. Untuk tujuan itu, kita akan membincangkan apakah yang dimaksudkan dengan……

INSIPRASI

Pernahkah anda mendengar lirik-lirik yang menyentuh tentang inspirasi atau menggunakannya? Lagu kumpulan Wings - Inspirasi Taming Sari mengingatkan kita tentang kehabatan keris Taming Sari kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang terkenal. Taming Sari dikatakan keris sakti yang membuatkan pemiliknya kebal dan berkuasa. Semasa menjalankan tugasnya untuk menentang Hang Jebat, Hang Tuah terpaksa menipu musuhnya untuk mendapatkan keris tersebut yang menjadi sumber inspirasinya. Lagu kumpulan Chicago juga ada menceritakan bagaimana seorang wanita menjadi sumber inspirasinya dalam menyerikan serta memberi makna pada kehidupannya. Jadi apakah sebenarnya yang kita sering katakan inspirasi itu? Apakah sebenarnya maksud yang tersirat dan yang tersurat dalam perkataan inspirasi tersebut?Sebenarnya perkataan inspirasi biasanya dikaitkan dengan kreativiti individu. Definasi inspirasi ini sebenarnya mempunyai pelbagai pendekatan berbeza untuk menerangkan maksudnya. Walau bagaimana pun untuk memudahkan pemahaman, inspirasi yang akan digunakan didalam buku ini akan membawa maksud :-Sesuatu Pengaruh Yang Melahirkan Keazaman Diri Serta Melahirkan Idea Yang Unik Dan Kreatif Yang Menghiasi Ruang Minda Individu Yang Seterusnya Dizahirkan Dalam Kehidupan Seseorang.Ini bermakna inspirasi itu merupakan sesuatu yang dapat mendorong manusia untuk melahirkan keupayaan diri secara effektif dan berkesan dan berupaya mendatangkan perubahan yang ketara dalam sebuah kehidupan seseorang. Ianya dapat mempengaruhi manusia untuk menghasilkan yang terbaik pada setiap kelakuan individu tersebut. Apa yang lebih penting lagi ialah ianya mempengaruhi serta menghiasi ruang minda yang dalam erti kata lainnya, ianya berupaya mengubah tahap keyakinan dan kepercayaan seseorangindividu tersebut. Oleh itu tidak hairanlah jika mereka yang berjaya mengatakan bahawa mereka mempunyai sumber inspirasi yang memberi sokongan ke atas kejayaan mereka. Bermakna mereka mempunyai sesuatu yang dapat mempengaruhi mereka untuk menghasilkan keazaman luar biasa yang mampu mengatasi segala halangan dan menzahirkan segala keupayaan yang penuh kreatif yang dianggap sebagai mustahil oleh kebanyakan orang. Bersesuaian dengan tajuk buku ini 'Membina Inspirasi', melalui buku ini kita akan mengupas aspek-aspek penting yang perlu ada dalam diri individu untuk berupaya melahirkan keazaman serta idea kreatif tersebut. Melalui perbincangan, penyelidikan, pembacaan serta rujukan terhadap individu-individu yang mempunyai sumber inspirasi yang mengkagumkan, kita akan dapat melihat bagaimana mereka mampu berada pada tahap yang mereka capai serta bagaimana mereka membina serta mengharungi kehidupan mereka. Kita mungkin akan bertanya mampukah kita atau adakah kita juga mempunyai keupayaan untuk membina inspirasi seperti mereka? Mampukah kita mencapai kejayaan dan memperolehi apa yang kita impikan? Persoalan ini sudah pastinya akan terjawap jika anda terus bersama berbincang dalam bab-bab selanjutnya dan apa yang pasti ialah anda sudah pasti akan merasa lebih yakin dengan keupayaan serta kemampuan diri anda sendiri. Setelah kita sama-sama membincangkan tentang apa yang kita kenali atau kita definasikan sebagai inspirasi, perbincangkan selanjutnya sudah pastinya akan menjadi lebih menarik. Kita akan melihat bagaimana kita harus membina inspirasi tersebut dan bagaimana kita akan memupuknya supaya ianya terus manjadi sebahagian cara hidup seharian kita. Walau bagaimana pun sebelum membincangkan tentang kaedah-kaedah membina inspirasi tersebut, ada baiknya jika kita melihat beberapa contoh sumber-sumber inspirasi yang mana ianya dikaitkan dengan kejayaan seseorang. Untuk tujuan tersebut, ada baiknya jika kita terlebih dahulu mengetahui tentang………

KEPENTINGAN SUMBER INSPIRASI

Kepentingan sumber inspirasi dalam menentukan kejayaan sesorang itu banyak bergantung kepada ciri-ciri fizikal dan rohani sesorang individu itu sendiri. Memang tidak dinafikan bahawa tanpa inspirasi, kita kemungkinan menjadi seorang yang kehilangan punca, kurang semangat, kurang minat dan keazaman. Justeru itu, untuk meningkatkan azam semangat dan cita-cita, kita perlu memahami aspek-aspek fizikal dan rohani diri kita sendiri. Pernahkah kita melihat seorang kanak-kanak yang sedang menangis tiba-tiba berhenti menangis apabila ibunya datang untuk membantunya ataupun pernahkan kita mengalami suatu keadaan bila mana dalam suatu perlawanan bola atau lain-lain jenis sukan, tiba-tiba bulu roma kita tiba-tiba meremang dan kita menjadi lebih semangat, penuh keazaman dan kita merasakan bahawa kita menjadi lebih yakin dan bertenaga? Cuba ingatkan kembali detik-detik tersebut dan cuba fikirkan apakah yang menyebabkan perubahan tesebut? Mungkin pada ketika itu kita terpandangkan wajah orang disayangi sedang memberikan sokongan kepada kita atau mungkin juga kita terbayangkan tentang keuntungan yang akan kita perolehi jika memangi perlawanan tersebut. Sebagai manusia, kita mempunyai sifat-sifat yang tertanam dalam jiwa kita. Bagi sesetengah individu, mereka mungkin lebih terangsang oleh pengaruh-pengaruh dalaman seperti emosi, cinta dan kasih sayang, manakala bagi individu-individu lain pula mereka lebih cenderung untuk terpengaruh kepada aspek-aspek fizikal seperti wang, harta benda, pangkat atau nama. Oleh itu kita akan sentiasa dapat memerhatikan perbezaan antara individu-individu tersebut disekeliling kita berdasarkan sifat-sifat fizikal dan rohani mereka tanpa menyedari dan memahami apa sebenarnya yang sedang kita perhatikan. Pemerhatian sebenarnya adalah lebih daripada apa yang sering ditafsirkan oleh deria-deria pancainderia yang lima iaitu mendengar, melihat, menyentuh, merasa dan menghidu. Apabila kita mengalami atau melalui sesuatu pengalaman ataupun peristiwa, kita akan cepat diberitahu tentang peristiwa-peristiwa tersebut melalui rangsangan-rangsangan deria kita dan seterusnya penafsiran selari akan dibuat oleh akal kita. Walau bagaimana pun, untuk pemerhatian yang lebih teliti, biasanya suatu proses penganalisaan akan dijalankan oleh akal kita dan seterusnya ini akan dapat membantu diri memahami dan mengalami sesuatu peristiwa itu dengan lebih terperinci. Oleh itu secara sedar atau tidak sedar, kita sebenarnya sering melihat apa yang ada didalam diri seseorang itu berdasarkan apa yang dizahirkannya melalui perlakuan fizikalnya. Dalam erti kata lainnya, individu tersebut sebenarnya sedang melakukan apa yang menjadi sumber pegangan, kepercayaan dan keyakinannya melalui apa yang dapat kita lihat sebagai perbuatannya. Oleh itu apabila kita sering melihat dengan lebih teliti dan lebih menghayati, kita lebih mudah untuk memahami apa yang sebenarnya yang dilakukan oleh seseorang individu tersebut. Bagaimana dengan diri kita? Adakah kita jenis individu yang akan terangsang dan dipengaruh oleh aspek-aspek dalaman ataupun aspek-aspek luaran? Mungkin tidak ramai diantara kita yang benar-benar faham dengan kehendak dan perasaan hati kita dan tidak begitu peka terhadap apa sebenarnya yang penting dan kurang penting dalam menyempurnakan kehidupan seharian kita. Keadaan ini menyebabkan kita mudah mengalami kekecewaan dan kurang bersungguh-sungguh apabila kta melakukan sesuatu tindakan. Apabila kita tidak faham kehendak dan perasaan kita sendiri, apa yang pasti ialah, kita tidak akan dapat melahirkan kemampuan serta keupayaan sebenar diri kita

dan ini menyebabkan kita sering dihantui oleh pengaruh-pengaruh negatif yang boleh melunturkan semangat dan keazaman kita. Jadi bagaimanakah kita dapat memahahi keadaan sebenar diri kita? Apakah ada cara-cara yang dapat kita lakukan untuk memahami dengan lebih berkesan tentang apa yang diperlukan oleh diri kita? Sudah tentulah jika ada cara-cara yang tertentu yang dapat kita pelajari untuk memahami diri kita tentang kehendak dan kemahuan kita, kita akan menjadi lebih peka dan dapat membina inspirasi diri dengan lebih cemerlang. Oleh itu sebelum memahami apakah sebenarnya yang diperlukan dan yang sering menjadi kemahuan sebenar diri kita, kita haruslah mengetahui apa yang sering merangsang kita menjadi lebih dinamik? Apakah yang menyebabkan kita menjadi lebih bersemangat? Kenapa ada kalanya kita merasa yakin dan adakalanya kita menjadi terlalu tertekan dan bimbang.Apa yang sedang kita bincangkan dan akan terus kita bincangkan adalah sebenarnya bagaimana kita hendak memahami diri kita dan seterusnya dengan memahami sifat-sifat ini kita lebih peka terhadap kemahuan dan kehendak diri kita dan ini pastinya memudahkan kita melalui kehidupan ini dengan lebih yakin dan lebih berkesan. Jika kita melihat ke arah tokoh-tokoh dunia samada mereka seorang pemimpin, seorang usahawan, tokoh agama ataupun individu lain yang mempunyai kehidupan yang menarik dan ceria serta penuh makna, kita akan menyedari bahawa kebanyakan mereka mempunyai pengetahuan dan kesedaran tentang ciri-ciri diri mereka sendiri dan seterusnya mereka berusaha memenuhi fitrah ini untuk memenuhi citarasa diri. Oleh kerana kejayaan dan pencapaian dalam kehidupan merupakan suatu subjek yang juga relatif, subjektif dan kualitatif yang sukar diukur dengan tepat, untuk tujuan perbincangan kita, kejayaan yang akan kita gunakan akan kita definasikan sebagai :-

Suatu pencapaian dalam diri yang membuatkan seseorang individu itu merasa puashati dan gembira, yang mana ianya merupakan pencapaian aspirasi dengan menggabung keupayaan fizikal dan mental untuk memperolehi matlamat individu.

Ini bermakana bahawa untuk menjadi individu yang berjaya, kita seharusnya mengetahui tentang bakat kita, mengetahui tentang kemahuan di dalam diri kita mengetahui apa yang perlu dipenuhi dari segi fizikal dan mental supaya kita dapat mengalami perasaan kebahagiaan serta berpuashati dengan pencapaian matlamat kita. Mengapakah kita harus kaitkan kejayaan dengan kepuasan serta kebahagiaan? Mungkin ramai diantara kita yang masih mungkin tidak memahami erti kebahagiaan, tidak pernah berpuashati dengan pencapaian kita dan sentiasa mahukan sesuatu yang lebih baik. Oleh itu adalah penting bagi kita untuk memahami peranan kebahagiaan dan kepuasan dalam diri serta kehidupan kita agar ianya dapat dijadikan kayu pengukur untuk melihat dan menilai pencapaian kita didalam kehidupan ini. Sekarang kita harus berbalik semula kepada definisi kejayaan tersebut yang kita telah kaitkan dengan kepuasan dan kebahagian. Apakah kebahagian dan kepuasan yang kita alami hari ini akan kekal sehingga esok? Sudah pasti kita perlu berusaha untuk mengekalkan kebahagiaan itu sekiranya kita ingin terus berjaya dan bermakna kejayaan itu merupakan suatu proses yang berterusan. Kebanyakkan kita mungkin setelah berusaha beberapa lama dan akhirnya mencapai matlamatnya akan merasa berpuashati dengan apa yang dicapainya dan ini akan mendorong kita untuk berehat menghayati kejayaan tersebut. Katakanlah si A yang telah puas berusaha selama beberapa tahun untuk menjadi seorang jurutera kanan syarikatnya mungkin akan berehat setelah mencapai matlamatnya sebagai jurutera kanan disyarikatnya. Mungkin dia tidak lagi menjadi segigih dulu dan walaupun ianya tidak menjejaskan mutu kerja syarikat tersebut, tapi dari segi keuntungan yang akan diperolehi oleh A bagaimana keadaan ini menjadi seolah-olah kesilapannya untuk mencapai kejayaan yang lebih besar? Apa yang cuba saya sampaikan dalam perbincangan ini ialah, bagaimanakah kita menerima dan meraikan sesuatu kejayaan itu. Seperti yang dinyatakan diatas, kejayaan sebenarnya merupakan suatu proses dan ianya merupakan faktor yang penting untuk menentukan sejauh mana pencapaian kita dalam kehidupan ini. Oleh itu adalah penting bagi kita memahami bahawa, untuk terus mengecapi kebahagiaan dan kepuasan diri, kita haruslah sentiasa membina kejayaan didalam kehidupan kita. Kini, pertanyaan yang timbul ialah apakah selama ini kita telah berjaya? Secara dasarnya mungkin kita telah berhasil mencapai beberapa matlamat dalam kehidupan kita dan kita mungkin menganggap diri kita telah berjaya. Tetapi amat penting bagi kita menyedari bahawa apabila kita telah berjaya memperolehi matlamat tersebut, kita hanya baru memulakan suatu proses kejayaan dan kita belum benar-benar mengecapi kejayaan. Untuk memperbaiki diri dan kehidupan seorang individu itu haruslah mempunyai pandangan yang terbuka kepada apa yang dikatakan kejayaan tersebut. Justeru itu kepentingan sumber inspirasi yang sering mendorong kita untuk mencipta kejayaan merupakan antara aspek yang perlu diberi perhatian supaya dari masa kesemasa, kita dapat memperbaiki tahap pencapaian kita. Dengan adanya pengaruh persekitaran, pergaulan dengan masyarakat dan sebagainya, kita sudah tentu dari semasa ke semasa akan berdepan dengan cabaran yang dapat menggugat semangat dan keazaman kita dan boleh mempengaruhi pencapaian. Untuk mengatasi halangan ini, biasanya kita memerlukan sesuatu yang dapat mendorong, mengembalikan keyakinan diri serta menambah keazaman kita untuk kita terus tabah menghadapi cabaran-cabaran kehidupan ini. Disinilah biasanya kita memerlukan sumber inspirasi yang dapat membantu kita untuk terus berpegang teguh kepada impian kita dan terus gigih berusaha untuk terus mencapai matlamat-matlamat yang telah kita rancangkan.Seperti yang telah kita kupas dalam perbincangan sebelum ini, manusia mempunyai sifat-sifat fizikal serta rohani yang berbeza dan seringkali individu-individu mempunyai pelbagai jenis keyakinan dan kepercayaan yang mana ini mempengaruhi apa yang kita kaitkan sebagai sumber inspirasi. Bagi sesetengah orang, sumber inspirasinya berpunca dari kawannya yang sering membantunya dan mendorongnya dalam kehidupannya. Bagi individu lainnya pula, mungkin mereka melihat kearah keluarga terdekat mereka seperti bapa, datuk, ayah saudara ataupun abang-abang mereka sebagai 'role model' yang sekaligus menjadi sumber inspirasi mereka. Sesetengah orang pula akan memperolehi sumber inspirasi jika orang-orang yang mereka hormati memberikan mereka nasihat dan kata-kata perangsang. Ada juga yang cukup hanya dengan melihat wajah individu yang mereka sayangi seperti kekasih, isteri, anak, tunang dan sebagainya mendapat seakan-akan kuasa luar biasa yang dapat meningkatkan inspirasi mereka. Keadaan-keadaan ini, merupakan maklumbalas daripada sifat-sifat diri kita sendiri. Jadi bagaimanakah kita dapat mengenali keaaan diri kita dan seterusnya memahami apakah yang akan menjadi sumber inspirasi yang paling bermakna dalam kehidupan kita? Mungkin soalan itu sukar untuk kita jawab jika tidak pernah mengkaji dan memandang ke arah diri kita sendiri. Dalam perbincangan yang berikutnya, kita akan cuba memahami apakah elemen-elemen yang dapat mempengaruhi diri kita dan seterusnya kita dapat menentukan sumber-sumber inspirasi yang dapat meningkatkan tahap pencapaian kita.Oleh itu sebelum kita terus membincangkan aspek-aspek lain yang tidak kurang pentingnya dalam usaha kita mencapai tingkat kehidupan yang lebih bermakna dan lebih bahagia, sekali lagi saya berharap anda semua akan terus tabah dan memperbaharui azam anda untuk menghabiskan keseluruhan buku ini yang pastinya akan membawa perubahan baru didalam diri dan kehidupan kita. Disamping itu juga saya percaya bahawa kita akan melangkah ke dimensi baru dalam memahami makna kehidupan ini yang mana akan diperolehi apabila kita terus berbincang dan cuba mengupas bersama topik-topik yang selanjutnya. Oleh itu, selepas ini kita akan berbincang mengenai suatu kuasa penggerak manusia yang seringkali dikaitkan dengan kejayaan manusia untuk mencapai matlamat mereka. Saya percaya kita semua pernah terdengar dan pernah mempelajarinya semasa kita mengharungi kehidupan ini. Kuasa ini yang sering dikaitkan dengan teknik-teknik menggerakkan manusia supaya menjadi lebih tekun dan lebih komited terhadap kerjanya ialah....................