BAB 2

MOTIVASI DIRI

Perbincangan :-

  1. Pengenalan dan Definisi
  2. Perbezaan keperibadian individu
  3. Tujuan, wawasan dan idea : Nilai kecemerlangan motivasi

Kadangkala bila ku renung kembali keadaan semasa aku masih lagi bertungkus lumus menghabiskan pembelajaran diperingkat sarjana muda di universiti aku merasa kagum dengan sikap sesetengah rakan-rakan ku yang lainnya. Mereka ini yang lebih ku kenal kerana pencapaian akademik yang unggul biasanya digelarkan ulat buku atau 'bookworms' dalam bahasa inggerisnya. Golongan ini biasanya jarang bersembang dengan rakan-rakan lain mereka dan sering menghabiskan masa mereka di meja mentelaah ataupun di perpustakaan. Bagaimanakah mereka menjadi begitu tekun? Pelajar-pelajar lain sibuk mengeluh sebab banyak kerja kursus, ujian dan sebagainya, tetapi mereka tetap tenang dan seolah-olah sentiasa mampu untuk mendapatkan 'mood' yang sesuai untuk mereka terus belajar dan mentelaah atau menghabiskan kerja-kerja kursus mereka. Jawapan yang sering ku perolehi apabila aku meringankan lidahku bertanya kepada mereka ialah mereka mempunyai motivasi yang tinggi yang mampu menggerakkan mereka untuk terus berusaha. Mereka sering mengatakan bahawa motivasi diri ini timbul dan sentiasa mendorong mereka untuk belajar. Mereka sedar jika mereka gagal mencapai keputusan yang baik oleh itu mereka sentiasa berusaha agar mereka akan sentiasa mendapat keputusan yang baik. Tapi apakah sebenarnya motivasi itu ? Untuk memudahkan perbincangan kita ada baiknya jika teliti dahulu apakah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai motivasi. Terdapat pelbagai pendekatan yang sering digunakan oleh pakar-pakar bahasa dan pakar-pakar psikologi dalam memberi pengertian terhadap apa itu motivasi. Jika anda berkesempatan untuk merujuk kepada kamus atau buku-buku pengetahuan saya syorkan anda harus berbuat demikian untuk mendapatkan dan membandingkan pelbagai variasi dalam manusia menerangkan maksud apa yang diistilahkan sebagai motivasi. Ini untuk menjadikan anda benar-benar faham apakah yang dikatakan motivasi tersebut disamping mempertingkatkan pengetahuan anda. Motivasi yang akan kita bincangkan ialah........

Sesuatu yang dapat dijadikan motif atau insentif yand dapat menggerakkan manusia untuk bertindak melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan

Dengan kata lainnya, motivasi merupakan sesuatu yang dapat dijadikan motif atau insentif yang akan mendorong dan merangsang manusia untuk melakukan sesuatu perkara itu. Biasanya motivasi ini dilihat dari segi kebendaan, contohnya seorang pelajar yang minat dengan kereta akan menjadi bermotivasi untuk mendapatkan ijazah di universiti apabila ayahnya berjanji akan membelikannya kereta apabila ia tamat belajar kelak. Ataupun kita mungkin menjadi bermotivasi apabila menyedari bahawa dengan bekerja bersungguh-sungguh peluang untuk kenaikan pangkat akan menjadi lebih cerah. Ataupun seorang pekerja dijanjikan oleh majikannya untuk mendapat bonus jika berjaya menyiapkan sesuatu projek dalam jangkamasa yang tertentu.Terdapat pelbagai pendekatan yang digunakan oleh pakar-pakar psikologi, pengurus-pengurus kilang dan pengarah-pengarah syarikat untuk memotivasikan orang-orang dibawah pengawasan mereka. Begitu juga dalam kehidupan seharian kita, kita sering melalui peristiwa-peristiwa yang berupaya mencetuskan motivasi dalam diri kita yang menyebabkan kita berusaha untuk sesuatu tujuan. Persoalannya sekarang ialah, bagaimanakah kita dapat mengembangkan motivasi didalam diri kita sendiri? Jika kita seorang pengurus sebuah syarikat dan ingin supaya kakitanga dan para pekerja menjadi lebih rajin, kita boleh menggunakan motivasi wang, motivasi pangkat dan sebagainya. Jika kita seorang bapa yang ingin memotivasikan anak-anak kita untuk lebih rajin didalam pelajaran mereka, mungkin kita boleh memberikan mereka hadiah jika mereka berjaya atau pun membawa mereka bersiar-siar apabila menjelang cuti sekolah mereka. Kita boleh mengkaji tabiat dan kecenderungan seseorang individu tersebut untuk memastikan apakah perkara yang dapat meningkat motivasi mereka. Untuk mengembangkan motivasi yang ada dalam diri kita bukanlah sesuatu benda yang sukar. Pernahkan anda mengalami bagaimana sebuah keretapi semasa ianya mula bergerak ataupun kenderaan-kenderaan lain? Jika anda pernah melalui pengalaman ini sedarkah anda bahawa sebelum kenderaan tersebut mula bergerak, kita akan merasa seolah-olah ada kuasa yang menahan pergerakan kenderaan tersebut dan kita terpaksa membrikan suatu kuasa atau daya yang lebih besar dari daya yang sebenar untuk menggerakkan kereta tersebut. Fenomena ini dikenali sebagai inertia atau keadaan pegun ( diajar didalamsebahagian daripada matapelajaran fizik) yang mana objek tersebut dalam keadaan ini berada dalam tahap keseimbangan. Oleh itu, untuk mengubah keadaan tersebutkita memerlukan daya yang lebih besar untuk mengatasi daya pegun tersebut.

Begitu juga dalam kehidupan kita, kita perlu memberikan satu daya yang dapat mengatasi daya pegun yang ada dalam diri kita. Jadi apa yang perlu kita lakukan sebelum dapat mengatasi daya pegun tersebut? Kita haruslah terlebih dahulu mnyelidiki apa yang dapat mengatasi daya pegun tersebut. Mungkin bagi sesetengah manusia akan mengatakan wang sebagai keperluan mereka, sesetengahnya mengatakan bahawa mereka memerlukan pangkat, atau pun mereka memerlukan pengiktirafan dan sebagainya. Dengan mengetahui apa yang kita perlukan untuk mengatasi daya inertia atau pegun itu tadi, dan mengetahui apa yang boleh mendorong kita, sudah pasti perkara memotivasikan diri kita menjadi lebih mudah.

Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengkaji kecenderungan kita dan yang akan dapat memotivasikan diri kita? Jawapan yang kita akan bincangkan dan kita kupas selanjutnya mungkin dapat memberikan anda gambaran atau idea yang boleh anda manfaatkan. Tapi sebelum itu bagaimana? Adakah anda ingin sama meneruskan perbincangan ini atau pun anda sudah jemu dan merasa tertekan atau letih atau menjadi bertambah tidak yakin…? Adakah anda akan berhenti setakat disini dan tidak mahu lagi meneruskan perbincangan ini? Adakah kita akan membiarkan perbincangan yang menarik ini begitu sahaja tanpa anda bersama-sama menghayati perbincangan ini? Apa yang telah kita bincangkan sejauh ini masih terlalu awal untuk kita menggarap suatu pemahaman yang benar-benar tuntas di dalam memahami faktor-faktor yang membantu membina inspirasi anda.. Tetapi apa yang pasti, ianya sudah pun memberikan sedikit perubahan dalam pemahaman anda dan pandangan kita tentang kehidupan ini. Jadi saya percaya kita akan meneruskan perbincangan ini dan bersama-sama meneroka pengalaman baru ini dengan lebih bersemangat dan lebih yakin.

Untuk menjadi seorang individu yang dinamis dan sentiasa bertenaga, kita perlu mempunyai motivasi diri yang kukuh. Dan untuk menjadikan kita diantara mereka yang mempunyai motivasi yang tinggi, kita perlu mengetahui apa-apa perkara atau bahan-bahan yang dapat dijadikan motif atau insentif kepada diri kita. Motif atau insentif ini kemudiannya akan menghasilkan suatu daya didalam diri kita yang mana, seperti yang dibincangkan tadi akan mewujudkan suatu kekuatan untuk megatasi daya pegun yang sedia wujud didalam diri kita yang sering menjadi cabaran diri kita untuk bertindak. Jadi untuk itu, kita perlu memahami apa yang perlu kita lakukan untuk menyelidiki kecenderungan kita untuk bermotivasi kita akan menyingkap dahulu beberapa aspek penting yang sering kita kaitkan dengan ...............

PERBEZAAN KEPERIBADIAN DIRI INDIVIDU

Untuk meneruskan perbincangan kita yang berkisar kepada keperibadian diri kita yang tertumpu kepada tingkah laku fizikal dan rohani, kita perlu menjadi manusia yang lebih peka dan lebih sensitif terhadap apa-apa yang ada di sekitar kawasan kita dan apa-apa yang kita alami. Kita seharusnya menumpukan perhatian kita kepada semua perkara yang mungkin selama ini kita kurang sedar kepentingannya atau kita merasa kurang penting. Bagaimanakah cara kita berbicara, cara kita berjalan, cara kita berbual an cara kita menghadapi sesuatu keadaan? Pernahkah kita menganalisa dan memerhatikan apa-apa perlakuan yang dizahirkan melalui hubungan seharian kita? Sebenarnya untuk memahami diri kita sendiri, kita perlu menjadi lebih peka dan menjadi lebih analitikal terhadap diri kita sendiri. Kita perlu memahami persepsi-persepsi yang ada didalam fikiran kita dan kita perlu memahami terjemahan yang dihasilkan melalui fikiran kita. Apa-apa yang berlaku pada diri kita biasanya merupakan tindakbalas rangsangan terhadap apa yang kita percaya dan kita fikirkan. Melalui persepsi dan terjemahan yang kita analisa dan kita hasilkan melalui akal fikiran kita, ianya akan dizahirkan melalui anggota-anggota fizikal kita, deria kita, perlakuan kita serta tindakan kita terhadap sesuatu perkara. Perlakuan ini pula mungkin dapat kita lihat dengan ketara melalui tindakan-tindakan yang bersifat fizikal seperti gelak-ketawa kerana gelihati, menangis kesedihan, termenung dan sebagainya dan mungkin juga perlakuan ini menjadi sukar untuk dikesan seperti perubahan warna kulit, peningkatan kadar pernafasan dan denyutan nadi, ekspresi muka dan sebagainya. Apakah yang mempengaruhi nilai-nilai serta kepercayaan yang ada pada diri kita? Fitrah manusia sebenarnya dilahirkan dalam keadaan yang positif penuh dengan keupayaan diri yang tinggi. Dari kecil kita sudah mula memulakan beberapa langkah untuk mencapai tahap kehidupan yang lebih baik. Kita berusaha bersungguh-sungguh untuk belajar berjalan, belajar bercakap dan belajar memahami makna kasih sayang. Kita tidak pernah mengenal erti putus asa dan akhirnya kita berjaya menguasai bahasa percakapan seharian dan kita dapat melangkah dengan yakin. Kita tidak pernah mengenal erti kegagalan yang akhirnya mendorong kita untuk mencapai kejayaan-kejayaan tersebut. Bayangkanlah jika kita berputus as semasa kecil dan berhenti dari belajar melangkah kerana kita takut terjatuh, sudah pasti kita tak akan berjaya berjalan seperti ini. Bagaimana pun kita sudah pasti tidak dapat mengingati detik-detik kejayaan tersebut kerana kita mungkin terlalu kecil untuk mengingati peristiwa kejayaan tersebut. Seiring dengan perjalanan masa, kita mula terdedah kepada pengaruh-pengaruh persekitaran yang akhirnya membentuk nilai-nilai yang ada dalam diri kita. Kita mula mempelajari untuk menanam sifat-sifat yang kita anggap murni dengan melihat ke arah sekeliling kita. Biasanya setiap individu mempunyai tahap-tahap penerimaan yang berbeza dan ianya bergantung kepada naluri yang sedia ada pada setiap individu tersebut. Secara amnya terdapat tiga jenis penerimaan nilai yang sering kita alami dan kita gunakan untuk menafsir dan menganalisa sesuatu perkara yang ada disekeliling kita. Tiga perkara tersebut merupakan penerimaan AUDIO yang mana kita mendengar melalui telinga ataupun kita seolah-olah terdengar suara membisikkan sesuatu kedalam diri kita, penerimaan VISUAL yang mana kita melihat dengan mata atau kita bayangkan dalam fikiran kita dan penerimaan KINESTETIK yang melibatkan deria-deria sentuh, rasa ataupun perasaan yang kita alami seperti rasa kasih dan sebagainya. Melalui gabungan-gabungan ini kita akan menafsirkan sesuatu keadaan atau perkara dan akhirnya diterjemahkan dalam diri kita. Untuk memahami tiga jenis penerimaan ini cuba kita fikirkan apa-apa perkara yang telah berlaku ke atas diri. Contohnya, saya teringat satu peristiwa yang berlaku dimana saya berjumpa dengan seorang kawan saya semasa turun dari keretapi sewaktu saya dalam perjalanan mengahadiri satu seminar di Kuala Lumpur..., Aku masih lagi keletihan sewaktu turun dari keretapi Ekspress Langkawi. Apa tidaknya, sejak samalam aku begitu sibuk menyiapkan semua nota-nota dan transpiransi yang akan ku gunakan untuk pembentangan kertas kerja nanti. Dengan langkah yang longlai aku melangkah keluar dari gerabak dan berjalan menuju ke arah surau untuk bersolat menunaikan sembahyang subuh."Hei Jon! "Sekonyong-konyong aku tesentak apabila aku mendengar suatu suara yang telah lama tidak kudengari meneriak memanggil nama ku. Aku bingkas menoleh dan mendapati Maher, rakan se universiti ku tersenyum gembira. Aku pun tergelak. Tak menyangka akan bertemu seorang rakan lama di Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Bagaikan seolah-olah mendapat satu tenaga luarbiasa, rasa letihku hilang serta merta menjadi bertenaga dan aku terus memperolehi suatu semangat baru pada pagi itu. Keadaan yang tadinya seakan-akan memaksaku untuk berehat sebentar tiba-tiba berganti dengan perasaan gembira yang dianugerahkan Tuhan pada awal-awal pagi. Oleh kerana hari masih pagi kami pun bercadang untuk duduk bersembang seketika sambil bersarapan sebelum kami meneruskan perjalanan masing-masing.Dari pengalaman diatas, apa yang dapat kita perhatikan ialah bagaimana dengan suatu teguran sahaja, kita sudah mendapat suatu penafsiran baru yang memberikan kita suatu tenaga baru untuk melawan rasa letih yang sedang kita alami. Dari interperasi AUDIO, VISUAL dan KINESTATIK kita sudah menginterperasikan keadaan dengan pandangan yang amat berlainan dari keadaan sebelumnya. Saya percaya kita semua pernah lalui keadaan ini dan secara sedar atau pun tidak, peristiwa-peristiwa seperti ini biasanya merupakan gambaran tentang perlakuan diri kita yang sebenarnya. Sebenarnya terdapat pelbagai pengaruh yang boleh merangsang diri kita dan untuk individu yang berlainan bentuk rangsangan yang akan kita alami sudah pasti berbeza dengan bentuk rangsangan seorang individu lainnya. Dalam setiap individu juga, penerimaan nilai ini samada lebih cenderung kepada penerimaan AUDIO, VISUAL atau KINESTATIK juga berbeza. Untuk mengenal pasti kecenderungan kita untuk menerima dan menanam nilai-nilai diri ini, kita boleh mengkaji dengan cara manakah kita dapat memahami dan menyelesaikan sesuatu masalah dengan lebih pantas. Sesetengah individu mungkin menjadi lebih cekap jika ia menyelesaikan masalah tersebut dengan melakar dan menyelesaikan masalah tersebut di atas kertas ataupun menggambarkan masalah tersebut didalam fikirannya. Sestengah individu yang lain pula mungkin cukup dengan hanya mendengar masalah tersebut atau menyebutnya semula dengan berkata-kata kepada dirinya ia akan menyelesaikan masalah tersebut dengan lebih mudah. Mungkin bagi individu lain pula, mereka akan melakonkan masalah tersebut atau membuat gerakan-gerakan tangan dan sebagainya untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan lebih berkesan dan teratur. Apakata kalau kita mengkaji corak penerimaan yang dominan didalam diri kita?,… Mungkin kita boleh cuba menyelesaikan persoalan metamatik yang muda dengan mencuba ketiga-tiga pendekatan tersebut dan pada masa yang sama menganalisa pencapaian kita untuk membandingkan kecekapan ketiga-tiga pendekatan tersebut. Mungkin juga kita akan dapat menentukan kecenderungan kita dengan cara membaca dan memahami sebuah buku ilmiah atau sebuah buku cerita. Saya percaya kita akan dapat memahami apakah corak penerimaan yang dominan di dalam diri kita. Memahami kecenderungan penerimaan kita merupakan aspek yang perlu bagi kita untuk memahami dan menentukan nialai-nilai di dalam diri yang sering kita amakan. Dengan cara ini juga kita dapat menyelidiki dari manakah datangnya nilai-nilai tersebut dan kita dapat mengawasi diri kita dalam menerima pengaruh-pengaruh yang dapat mempengaruhi pembentukan nilai-nilai di dalam diri kita.

Oleh itu, setelah mengetahui kecenderungan penilaian diri kita, pastinya kita dapat menentukan apakah nilai-nilai yang terpendam atau yang ada di dalam diri kitayang menjadi kepercayaan dan pegangan di dalam kehidupan kita yang sering kita zahirkan di dalam perkataan dan perbuatan kita sehari-harian. Persoalannya sekarang ialah, bagaimanakah kita akan menggunakan nilai-nilai yang telah kita analisa dan di kenal pasti dan untuk apa akan kita gunakannya?


Memahami nilai-nilai apakah yang ada dalam diri kita tidaklah sesukar yang kita selalu fikirkan. Tetapi apa yang lebih sukar ialah untuk mengubah kepercayaan yang kadangkala telah menjadi sumber cabaran paling besar yang kita kurang berjaya menghadapinya. Untuk memahami diri kita sendiri, apa yang perlu kita lakukan ialah dalam setiap tindakan kita kita perlu menentukan dan mengambil masa untuk memahami kenapa kita melakukan sesuatu tindakan itu ataupun kenapa kita bertindakbalas sedemikian rupa terhadap sesuatu perkara ataupun dalam sesuatu situasi. Dengan memerhatikan setiap perbuatan kita secara teliti, kita akan dapat menentukan nilai-nilai diri yang ada yang membentuk peribadi kita. Contohnya jika kita berdepan dengan suatu masalah apabila kita sedang melakukan kerja, bagaimanakah akan kita hadapi masalah itu. Mungkin kita akan menafsirkannya sebagai suatu halangan dalam kita melaksanakan kerja itu yang mungkin menyebabkan kita menjadi kurang bersemangat. Mungkin bagi sesetengah individu lainnya, mereka akan memandang ianya sebagai suatu cabaran yang akan menaikkan semangatnya untuk menyelesaikan kerja tersebut seperti yang telah dirancangkan. Jadi jika kita mempunyai sikap pertama iaitu memandang perkara itu sebagai cabaran yang sukar untuk kita hadapi, secara amnya kita telah meletakkan suatu penghad dalam pencapaian kita. Oleh itu dalam latihan ini apa yang perlu ialah kita terlebih dahulu menentukan sifat-sifat yang ada dalam diri kita. Kita perlu mengkaji dan memahami apakah sebenarnya yang ada didalam diri kita supaya kita dapat membezakan antara nilai-nilai yang positif yang akan membantu kita mencipta persekitaran yang lebih progresif dan juga nilai-nilai negatif yang boleh membantutkan perkembangan kehidupan seharian kita. Setelah kita mengetahui nilai-nilai dalam diri yang membina dan yang menghadkan pencapaian kita, mungkin apa yang perlu kita lakukan selepas ini ialah mengubah nilai-nilai penghad ini kepada nilai-nilai yang lebih membina. Jadi bagaimanakah kita dapat mengubah niali-nilai tersebut supaya kita menjadi manusia yang lebih dinamis dan mampu melahirkan kekuatan motivasi yang tinggi? Apakah langkah-langkah yang kita perlu lakukan supay kita dapat mengubah nilai-nilai diri yang negatif tadi kepada nilai-nilai yang lebih positif? Bagaimanakah kita akan memastikan bahawa sepanjang masa kita mempunyai tahap motivasi yang tinggi yang terus-menerus dapat menggerakkan kita mengatasi inertia diri kita yang menjadi cabaran untuk kita hadapi supaya dapat kita terus berusaha untuk mencapai matlamt kita?Seperti yang telah kita bincangkan, untuk melahirkan motivasi, kita memerlukan suatu motif atau insentif yang kukuh yang dapat mendorong kita untuk terus berusaha. Kita juga tahu bahawa didalam diri kita terdapat nilai-nilai yang telah menjadi pegangan atau prinsip kehidupan kita yang sentiasa mempengaruhi tindakan dan tindakbalas kita terhadap sesuatu perkara. Setelah mengetahui apa-apa yang menjadi nilai pegangan ataupun kepercayaan yang ada didalam diri kita, maka lebih mudahlah kita menentukan apakah motif atau insentif yang dapat mendorong kita untuk terus berusaha. Jika kita percaya bahawa kita perlukan wang untuk hidup senang dan tenteram, mungkin kita boleh menggunakan nilai tersebut sebagai motif atau insentif kita dan kita akan lebih bersungguh-sungguh dalam usaha kita untuk mengumpulkan wang yang lebih banyak. Ataupun jika kita percaya bahawa kejujuran merupakan aspek utama dalam kehidupan untuk memperolehi kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan kita, kita boleh menjadikan ianya suatu motif, kita inginkan kejujuran dan kita berusaha untuk menjadi seorang yang jujur dalam segala usaha kita. Jadi apakah yang hendak kita jadikan motif atau insentif bagi diri kita? Bagaimanakah kita akan melihat dan menilai motif-motif atau insentif-insentif tersebut? Mungkin juga kita akan tertanya-tanya pada diri kita sendiri, bagaimana sikap dan penampilan seorang yang mempunyai motivasi yang tinggi? Apakah perkara-perkara yang telah ia jadikan sebagai motif atau insentif dalam mengekal tahap motivasi mereka? Bagaimanakah mereka menilai motif-motif atau insentif-insentif untuk diri mereka sendiri? Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, mungkin ada baiknya jika kita terlebih dahulu memerhatikan individu-individu disekeliling kita yang mempunyai kecemerlangan motivasi yang unggul dan kemudiannya bertanya kepada mereka apakah motif yang mendorong mereka untuk terus berusaha dengan gigih. Jadi sebelum memulakan perbincangan selanjutnya mungkin ada baiknya jika kita merenung sejenak topik-topik yang telah kita perbincangkan sebelum ini. Apakah kita akan meneruskan usaha kita untuk membina inspirasi kita atau pun kita sudah merasa puas dengan apa yang telah kita perolehi dalam perbincangan lalu? Ingat! Seperti yang telah kita bincangkan dahulu bahawa kepuasan kadangkala boleh menyebabkan kita tidak lagi berusaha meningkatkan taraf pencapaian kita. Mungkin ada diantara kita yang menganggap bahawa jika kita kurang puas kita tidak bersyukur atas apa yang kita telah perolehi. Sekali lagi kita perlu melihat kembali topik yang telah kita sentuh tentang terjemahan dan penafsiran yang dijanakan melalui pemikiran kita. Jika kita kurang puas, tidak bermakna kita tidak bersyukur atas pemberian Tuhan tetapi, kita cuma ingin menyedarkan diri kita bahawa untuk terus mengecapi ketenangan dan kebahagiaan hdup, kita perlu terus berusaha dan berusaha supaya kita menjadi seorang individu yang sentiasa bersyukur. Semakin banyak kejayaan yang kita perolehi, kita boleh menjadi semakin kerap bersyukur di atas nikmat Tuhan yang dikurniakan kepada kita. Meneruskan perbincangan kita, selanjutnya kita akan membahaskan tentang beberapa ciri-ciri yang sering kita kaitkan dengan individu-individu yang bermotivasi tinggi ini. Kenapakah kita perlu berbincang mengenai ciri-ciri positf yang ada pada seorang individu yang mempunyai tahap motivasi yang cemerlang? Saya percaya kita semua pernah menaiki kereta ataupun bas. Jadi jika kita ingin pergi ke suatu tempat lain, kita pastinya memilih kenderaan yang mempunyai ciri-ciri keselesaan, keselamatan dan kecekapan yang baik. Setelah mengetahui ciri-ciri tersebut maka kita bolehlah menetukan jenis kenderaan yang akan kita ambil untuk tujuan perjalanan kita. Begitu juga, untuk kita menjadi seorang yang bermotivasi tinggi, kita perlu mengetahui apakah ciri-ciri tersebut supaya kita dapat membentuk diri kita menjadi individu yang mempunyai kecemerlangan motivasi. Ciri-ciri tersebut yang akan kita bincangkan selanjutnya ialah...................

TUJUAN, WAWASAN DAN IDEA :

NILAI KECEMERLANGAN MOTIVASI

Pernahkah kita melihat bagaimana atlit-atlit berlatih dengan gigih setiap hari tanpa mengenal jemu? Bagaimana pemain-pemain bolasepak menjalani latihan pagi dan petang? Seorang tokoh politik sibuk tanpa mengenal jemu dari pagi hingga ke petang terus menerus berkempen meyakinkan para pengundi untuk mengundi? Dalam kebanyakan hal ini, kita akan berjumpa dengan mereka yang berusaha dengan lebih berusaha dan lebih cekal dan berjaya mencapai matlamat dan tidak kurang juga nampaknya kurang berjaya tetapi sebenarnya mereka telah berjaya mencapai matlamat mereka. Oleh itu dalam perbincangan ini kita akan melihat bagaimana kepentingan tujuan, wawasan dan idea akan menjadi penilaian sejauh manakah nilai kecemerlangan motivasi kit. Tanpa tiga tunggak utama ini, apa yang mungkin akan berlaku ialah kita tidak dapat meneruskan lagi usaha gigh kita dan ianya akan menyebabkan tahap motivasi di dalam diri kita menjadi tidak konsisten, sering turun naik mengikut keadaan.

Oleh itu sebelum kita menguapas dengan lebih lanjut, apakata kita kalau kita melihat dahulu kepentingan tujuan dan kaitannya dengan perkembangan kemerlangan motivasi diri. Apakah yang dimaksudkan dengan kata tujuan? Apabila kita mengatakan yang kita mempunyai satu tujuan, apakah sebenarnya yang kita maksudkan? Secara amnya jika kita mempunyai sesuatu tujuan, kita sebenarnya melakukan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu, atau mencapai sesuatu atau membuat sesuatu. Apabila kita mempunyai tujuan-tujuan tertentu untuk melakukan sesuatu, kita akan menimbang apakah tujuan tersebut mendatangkan manfaat atau tidak dalam diri kita. Kita juga akan menimbangkan aspek-aspek lain yang menjadi pegangan kita samada tujuan tersebut sesuai atau tidak dengan diri kita. Jika tujuan tersebut merupakan sesuatu yang murni dan selari dengan nilai-nilai yang ada dalam diri kita, kita akan menjadi lebih yakin dan bersemangat. Tetapi jika tujuan perlaksanaan sesuatu pekerjaan itu jauh menyimpang dari prinsip dan pegangan hidup kita, kemungkinan untuk kita berhenti separuh jalan setelah mencuba menjadi semakin besar. Dalam meningkatkan tahap pencapaian kita serta kecemerlangan motivasi kita, kita perlu mempunyai suatu tujuan yang jitu dan kukuh yang dapat mendorong kita agar terus berusaha. Oleh itu suatu tujuan itu juga mestilah sesuai dengan prinsip dan pegangan kita yang telah menjadi nilai-nilai kehidupan kita supaya ianya menjadi lebih jitu dan kukuh. Kita percaya bahawa tujuan kita melakukan sesuatu untuk memperolehi sesuatu itu merupakan suatu tujuan yang murni, yang tidak bercanggah dengan nilai-nilai diri yang ada dalam diri kita.Cuba kita kaji dengan teliti dalam diri kita. Apabila kita melakukan sesuatu, apakah kita melakukannya dengan tujuan yang betul yang selari dengan kepercayaan serta pegangan hidup kita? Contohnya jika kita hendak bersukan, bagaimanakah pandangan kita terhadap tujuan kita bersukan? Jika kita bersukan semata-mata untuk beriadah, mungkin kita akan bermain ala kadar sekadar membiarkan diri kita dibasahi peluh. Tetapi bagaimanakah pandangan mereka yang bersukan untuk tujuan sesuatu pertandingan atau berazam untuk mewakili negara? Mereka yang mempunyai cita-cita satu hari nanti mereka akan memenangi suatu pertandingan sukan diperingkat antara bangsa dan sebagainya? Sudah tentulah mereka akan bermain bersungguh-sungguh dan memberikan penumpuan yang lebih dan amat meneliti pencapaian mereka sepanjang latihan supaya mereka tidak lari dari tujuan asal mereka. Seperti yang telah kita bincangkan, sesuatu tujuan tersebut perlulah selari dengan nilai-nilai yang ada dalam diri seseorang untuk menjadikan ianya suatu tujuan yang jitu dan kukuh. Jika kita mempunyai suatu tujuan dan tujuan tersebut tidak selari dengan prinsip-prinsip kehidupan dan kepercayaan kita, apakah tujuan tersebut boleh menjadi jitu dan kukuh? Jika kita percaya kepada suatu pegangan, apa yang pasti ialah ianya merupakan suatu gambaran awal bagaimanakah kita akan bertindak terhadap sesuatu perkara. Jika kita percaya bahawa kejujuran merupakan suatu nilai diri yang murni dan dapat mempertingkatkan pencapaian diri kita, sudah tentulah kita akan berlaku jujur dan terus cuba untuk menjadi orang yang jujur. Begitu jugalah dengan hal-hal lainnya.Perkara yang kedua yang menjadi ciri-ciri mereka yang mempunyai tahap motivasi yang cemerlang ialah mereka biasanya merupakan individu-individu yang berwawasan yang akan membimbing dan membantu mereka untuk terus meyakini kemampuan diri mereka dalam mencapai matlamat mereka. Mereka mempunyai gambaran yang jelas didalam fikiran mereka apa-apa perkara yang hendak dicapai oleh mereka dan mereka terus percaya dengan apa yang mereka fikirkan dan apa yang tergambar dalam fikiran mereka. Mereka dapat melihat kejayaan mereka dalam fikiran mereka yang seterusnya mendorong mereka untuk terus berusaha. Jadi bagaimana dengan diri kita? Adakah kita mempunyai wawasan yang jelas yang mampu membimbing kita dan membantukan dalam merealisasikan impian kita. Pernahkah kita melihat kembali samada kita pernah mempunyai wawasan yang dapat membantu dan membimbing kita. Jika selama ini kita mungkin menganggap bahawa kita sukar untuk melaksanakan sesuatu projek atau perkara, saya syorkan mulai saat ini kita sudah mengembangkan pengaruh wawasan dalam kehidupan kita agar kita menjadi individu yang sentiasa mempunyai wawasan yang jelas dalam setiap tindakannya agar ianya menjadi lebih realistik dan lebih bermutu. Dan budaya wawasan diri ini perlu kita tingkatkan dari masa kesemasa demi mencapai kejayaan yang lebih bermakna dalam kehidupan kita.Pernahkah kita menonton televisyen atau wayang? Jika pernah sudah pasti kita semua akan menyedari bahawa cerita-cerita yang ditayangkan di televisyen atau dipawagam-pawagam tidak semuanya merupakan kisah-kisah realiti kehidupan masa kini. Cuba kita perhatikan filem-filem yang berjaya menghasilkan kutipan yang besar dalam sejarah perfileman. Filem Star Wars, Back To The Future, Total Recall dan Batman Forever merupakan filem-filem yang berjaya mencatatkan kutipan terbesar diseluruh dunia. Jika diperhatikan dari segi realitinya, ianya semua merupakan filem-filem yang bercorak fiksyen yang mana ianya merupakan suatu imiginasi ataupun idea yang akhirnya berjaya diolah dan diterjemahkan melalui filem-filem tersebut. Filem Star Wars misalnya merupakan filem yang berkisar pada kisah peperangan yang berlaku disebuah galaksi yang jauh dari sistem cakerawala kita. Begitu juga Total recall, ianya merupakan suatu gambaran keadaan masa hadapan. Back to The Future pula merupakan filem yang mengambil idea berdasarkan teori relativiti Einstein yang mana kita mampu kembali ke zaman silam dengan prinsip-prinsip fizik tertentu.Apakah kaitan filem-filem ini dengan motivasi? Jika kita meneliti secara halus tentang perkembangan cerita-cerita tersebut, pastinya kita akan melihat bahawa ianya merupakan suatu idea yang timbul dalam diri seseorang yang mempunyai wawasan dan percaya bahawa ianya boleh dikembangkan dan mampu menghiburkan kita. Idea merupakan suatu yang timbul dalam diri kita yang mana ianya mampu membantu kita dalam menghadapi cabaran-cabaran hidup. Tanpa idea kita mungkin akan termenung panjang memikirkan persoalan-persoalan yang timbul. Pernahkah kita mendengar keluhan seperti " Aku sudah kekeringan Idea" ataupun" Aku tak ada Idealah macamana nak selesaikan soalan No. 3"Bagaimanakah keadaan atau reaksi kita semasa mengucapkan perkataan-perkatan tersebut. Biasanya kita tersandar pada sebuah kerusi atau termangu seketika ataupun kita dalam keadaan tidak menentu. Apa pula reaksi apabila kita mendengar cadangan seperti " Haa! Aku ada satu idea" atau" Okey! I dah dapat idea nak selesaikan perkara tersebut"Pastinya selesai mengucapkan kata-kata tersebut kita akan bingkas bangun dan terus melakukan sesuatu hasil panduan idea kita. Oleh itu untuk menjadi individu yang benar-benar bermotivasi, kita haruslah mempunyai kemampuan untuk mencipta idea-idea dari semasa kesemasa. Dengan cara ini kita akan menjadi lebih dinamik dan bertenaga dan sentiasa dapat menyiapkan segala tugas seharian kita. Jadi tidaklah kita membazirkan masa melakukan perkara-perkara yang kita rasakan kurang berfaedah.Sekarang mungkin kita sudah mula nampak kaitan-kaitan perbincangan yang telah kita lalui dengan apa yang kita terus perbahaskan. Kita mula menyedari kepentingan-kepentingan setiap topik tersebut dalam memahami topik-topik yang lainnya. Mungkin setengah dari kita sudah mula menampakkan perubahan terhadap sistem nilai diri serta pandangan terhadap kehidupan ini. Jika demikian, eloklah jika kita meneruskan perbincangan kita yang menjadi semakin menarik ini. Sudah tentu kita tidak mahu melepaskan peluang memahami serta mempelajari teknik-teknik meningkatkan tahap pencapaian diri kita dan keupayaan sebenar yang terpendam dalam diri kita. Jadi apa kata jika meneruskan perbincangan kita untuk mula mempelajari kemampuan diri kita. Untuk membina inspirasi sebenarnya seperti yang telah sama-sama kita bincangkan tidaklah sesukar yang kita sering gambarkan. Ianya akan menjadi bertambah mudah jika kita lebih berilmu dan lebih berpengetahuan. Saya percaya, perbincangan selanjutnya akan menjadikan anda bertambah yakin dalam proses membina inspirasi diri dan kita juga akan menjadi lebih bijak untuk mengawal dan mengarahkan diri kita jika kita mempunyai suatu sikap yang akan menjadikan kita seorang individu yang lebih ceria, yang mempunyai personaliti yang lebih menarik serta mempunyai perspektif terhadap kehidupan kita. Untuk itu kita akan mula membincangkan tentang...........................