Topik 6 : Keyakinan- Keupayaan Sebenar Individu

Perbincangan :-

  1. Yakin dan terlampau yakin
  2. Keyakinan melalui pembentukan pemikiran
  3. Pemikiran Idea Perbuatan

KEYAKINAN - KEUPAYAAN SEBENAR INDIVIDU

Mamat memandang ke arah palang yang terentang kira-kira 15m dihadapannya. Dia sedar tentang peluangnya untuk menjadi juara acara lompat tinggi bawah 15 tahun ini akan menjadi semakin cerah dengan melepasi ketinggian pada aras 1.75m. Dia juga sedar dia perlu mengatasi segala perasaan negatif dalam dirinya. Dia perlu menumpukan seluruh kekuatan fizikal dan mentalnya untuk melepasi had ketinggian tersebut. Malah dia juga telah berjaya mengatasi ketinggian tersebut semasa sessi latihannya. Sememangnya dia menunggu saat ini untuk mengukur kemampuan dirinya. Semua mata sedang menumpu ke arahnya dengan penuh debar. Mamat tersenyum. Dia sudah yakin, dia memandang tepat kearah palang tersebut dan dengan keazaman diri yang teguh dia mula berlari semakin lama semakin deras dan semakin deras, dia melihat kearah titik khayalannya yang terletak kira-kira 0.5 m dari palang lompatan, dia sedar pada titik tersebutlah dia akan meletakkan sepenuh daya anjal kakinya untuk melompat, dengan itu dia perlu mempunyai kelajuan optimum untuk penganjalan pada titik tersebut dan bersedia untuk menghenjutkan kakinya sebelum dia melentikkan badannya. Dia terus berlari dan setibanya dititik tersebut dia lantas menghenjutkan kakinya dan badannya condong 45O dan dalam keadaan ini lah dia bingkas melentikkan badannya, dia sempat melihat kearah pehanya dan ianya sudah pun melepasi palang lompatan dan tinggal hujung kakinya yang masih berada dibawah paras palang dan dia sedar apa yang harus dilakukannya. Dengan menumpukan seluruh kekuatannya pada otot perutnya dan sendi lutunya dia menegakkan kakinya keatas menghadap langit. Akhirnya badannya melepasi palang tersebut, seluruh penonton yang tadinya seakan-akan terpukau dengan aksi akrobatik yang indah tersebut segera menyambut kejayaan tersebut dengan tepukan gemuruh. Mamat masih lagi duduk di tilam mendarat dan memandang ke arah palang tersebut. Dia sememangnya yakin dan akhirnya dia membuktikannya kepada semua orang. Keyakinan diri merupakan suatu aspek yang meletakkan individu dalam keadaan yang akan mendorongnya untuk berjaya. Seorang individu yang yakin akan kebolehannya untuk berjaya akan mencapai matlamatnya. Oleh itu kita perlukan sesuatu keyakinan yang teguh dalam diri kita sebelum kita mampu untuk melakukan perkara tersebut dalam kehidupan kita. Apabila kita menumpukan perhatian kita terhadap sesuatu perkara dengan keazaman dan keyakinan yang teguh, kita akan mewujudkan daya ketahanan yang secara tak langsung akan meningkatkan kemampuan kita untuk menghadapi sesuatu perkara tersebut. Kepentingan keyakinan didalam diri ini umpama suatu penunjuk kepada kemampuan diri kita yang sentiasa mendorong kita untuk melakukan sesuatu perkara. Kita percaya dan kita yakin dan kita zahirkannya melalui kehidupan kita. Oleh itu untuk menghasilkan suatu keputusan yang baik kita seharusnya menjadi seorang yang mempunyai keyakinan diri yang unggul yang mampu mengatasi segala halangan yang hadir dalam kehidupan. Kita mempunyai naluri yang sentiasa menyokong tindakan kita dan memberikan kita suatu semangat yang tebal didalam diri kita. Oleh itu dalam bab-bab selanjutnya kita akan membincangkan hal-hal mengenai apa yang dapat meningkatkan keyakinan diri kita dan seterusnya membantu kita memperbaiki keadaan diri kita. Kita akan melihat bagaimana kita mampu memperolehi keyakinan yang jitu yang mempunyai kuasa yang mendalam dalam mempengaruhi kehidupan kita. Kita juga akan berbincang mengenai langkah-langkah yang mungkin dapat kita lakukan apabila kita merasakan bahawa keyakinan kita sudah mula tergugat dan sudah mula pudar. Keyakinan diri merupakan aspek penting, namun kita harus ingat supaya tidak terlalu yakin! Apabila kita terlampau yakin, ianya boleh menyebabkan kita terlupa dan terlalai dan ini mungkin membawa padah yang besar. Kita pernah melihat bagaimana dalam sesuatu pertandingan bolasepak, bagaimana kadangkala kelab-kelab gergasi seperti AC Milan kecundang kepada kelab-kelab bukan pilihan umpama Genoa atau pemain pilihan pertama dunia Micheal Stich tewas kepada pemain 'wildcard' dalam kejohanan tennis ATP. Kadangkala kita terlampau yakin ( over-confident ) dan kita sering terlali dan mengecilkan cabaran yang sedia ada. Dan apabila kita tidak benar-benar bersedia ( akibat terlalu yakin ), kita mungkin menjadi mangsa tekanan diluar dugaan yang akhirnya menyebabkan kita tidak mampu untuk bangkit kembali. Terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi keyakinan diri kita. Apabila kita mempunyai keyakinan untuk melakukan sesuatu pekerjaan, kita dapat melaksanakan tugas tersebut dengan baik. Tetapi keyakinan kita mungkin terjejas jika kita merasa tertekan dan akhirnya kita tidak lagi mampu untuk menumpukan perhatian kita terhadap perkara tersebut. Tekanan merupakan suatu faktor yang sering menyebabkan kita hilang keyakinan. Tetapi tekanan juga kadangkala menyebabkan kita menjadi lebih bersemangat dan berazam untuk mengatasi segala cabaran yang ada.

Perbincangan kita selanjutnya akan membawa kita ke idea baru yang telah lama diketahui tetapi oleh kerana kurangnya penyelidikan yang dilakukan atau kerana kekurangan minat terhadap subjek tersebut kadangkala menyebabkan kita sering terlupa akannya. Pelbagai buku-buku, kertas kerja, artikel-artikel dan seminar-seminar yang telah dianjurkan untuk mengembangkan idea ini dalam diri individu. Mereka akan mengatakan kita mampu membuat apa yang boleh orang lain lakukan. Kita mampu mencapai kejayaan seperti mana yang dicapai oleh orang lain. Kita mampu untuk mengembangkan idea kita seperti mana pemimpin-pemimpin, politikus-politikus, saintis-saintis dan sebagainya. Kita mampu untuk menjadi siapa yang kita hendak jadi dan kita mempunyai keupayaan tersebut didalam diri kita yang mana ianya kadangkala terpendam dalam diri dan tidak digunakan sepenuhnya. Percayakah anda bahawa dalam kehidupan kita, peratus keupayaan yang kita sering gunakan hanyalah kurang dari 20% dari keupayaan sebenarnya. Mungkin bagi individu-individu yang kurang berfikir atau tidak terlalu mempunyai aktiviti yang padat hanya 1% sahaja dari keupayaan otak kita yang kita gunakan. Itulah apa yang dikatakan ahli-ahli sains neurologi. Bagi anda yang berminat untuk mengetahui tentang penyelidikan-penyelidikan ini bolehlah membaca buku-buku yang berkisar kepada fungsi otak manusia dalam kehidupan atau jurnal-jurnal sains, perubatan, peningkatan diri dan sebagainya seperti karya Susan A..Greenfield-'Journey to the Centr of the Mind', 'Ageless Body Timeless Mind oleh Deepak Chopra M.D., atau 'The Immune Power Personality' oleh Henry Dreher. Kemampuan pemikiran kita juga bertindak melalui rangsangan disekeliling kita yang saling berinteraksi dan kemudiannya bertindak sebagai penganalisa sebelum menyampaikan maklumat akhir dan menzahirkannya melalui perbuatan, pertuturan, sikap dan sebagainya. Jadi dalam bab selanjutnya kita akan membincangkan suatu tenaga keupayaan diri yang paling besar dalam diri kita iaitu keupayaan yang ada dalam pemikiran kita. Kita juga akan mengaitkan keupayaan pemikiran ini dengan keupayaan bayangan kita dan keupayaan fizikal kita. Saya yakin melalui perbincangan selanjutnya kita akan dapat melihat bagaimana fungsi otak kita bekerja dan apakah yang perlu kita lakukan bagi membolehkan kita meningkatkan lagi penggunaan otak kita. Kita juga akan menyentuh bagaimana kita dapat menggabungkan kekuatan pemikiran, kekuatan bayangan dan kekuatan fizikal kita dan menghasilkan tindakan, kerja dan keputusan yang selama ini menjadi impian kita untuk melakukannya. Ramai orang telah berjaya mengapplikasikan teknik serta corak pemikiran ini dalam kehidupan mereka. Dan seperti yang kita sama-sama percaya, ianya juga mampu kita lakukan bersama-sama dan dengan itu kita akan berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai matlamat kita dengan menambah dan memperkukuhkan keyakinan diri kita terhadap sesuatu perkara itu. Kita juga bertekad untuk menjadi individu yang mempunyai motivasi yang tinggi, mempunyai ciri-ciri minat dan keazaman yang unggul serta kecekalan dan ketabahan dan sentiasa bersabar dan penuh dengan dedikasi yang cemerlang dalam menumpuh kehidupan ini. Jika demikianlah apa yang terfikir atau terlintas di fikiran kita, maka kita akan meneruskan perbincangan ini dengan suatu topik yang dapat menukar pandangan anda serta mengubah keadaan sekeliling dan topik yang kita akan bincangkan iaitu…………..

KEYAKINAN MELALUI PEMBENTUKAN PEMIKIRANKeyakinan merupakan aspek penting dalam kehidupan yang sering menggugat perjalanan kehidupan kita. Kadangkala kita sering berada dalam suatu keadaan dimana kita merasa jurang yakin semata-mata kerana kita berpakaian dengan pakaian yang betul, kita lupa menyikat rambut kita dan sebagainya. Bukankah ianya sesuatu yang berpunca didalam pemikiran kita. Bayangkanlah jika mengahadiri suatu persidangan antarabangsa dengan memakai kemeja-t dan berseluar 'jeans', bagaimanakah perasaan kita? Sudah tentu kita hilang keyakinan untuk berbincang dengan para delegasi yang turut serta dalam persidangan tersebut dan kurang senang dengan penampilan kita. Apatah lagi dengan keadaan persekitaran kita yang serba serbinya lengkap kemas berpakaian formal dengan kot dan talileher, sudah pasti kita merasa tidak selesa. Tambahan pula orang akan merasa kurang senang melihat keadaan diri kita. Pendek kata kita boleh hilang keyakinan dengan serta merta pada ketika itu. Ataupun kita datang ke sebuah parti makan malam dengan memakai pakaian ala Batman kerana menyangkan bahawa parti yang kita hadiri merupakan parti pakaian beragam. Apabila kita hadir, semua tetamu memakai pakaian kasual, kelam kabut kita dibuatnya bukan? Dalam keadaan yang diterangkan di atas, apa yang berlaku ialah kita tidak berada pada kelompok yang betul dengan penampilan kita. Kita tidak pergi melepak di pantai semasa kita memakai kemeja-t dan berseluar 'jeans' dengan kawan-kawan kita. Sebaliknya kita menyertai kelompok yang sedang membicarakan sesuatu secara serius. Atau pun kita memakai pakaian untuk menyaingi pakaian orang lain yang juga akan menggayakan pakaian masing-masing sebaliknya kita tersalah tempat dan muncul di tengah-tengah manusia yang ingin menikmati pesta dengan cara biasa. Keyakinan diri sebenarnya boleh dijanakan melalui pelbagai cara yang tertentu. Dan antara aspek yang penting untuk membentuk keyakinan diri ialah kita seharusnya mampu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran kita supaya kita tidak merasa kekok atau merasa tersisih sehingga kita tidak mampu berbincang hatta berbicara sekalipun. Bukankah jika menghadiri persidangan antarabangsa tadi dengan lengkap berkot dan bertali leher, secara automatiknya kita akan menjadi lebih diterima oleh delegasi-delegasi yang turut serta dalam persidangan tersebut dan meningkatkan lagi keyakinan diri kita. Atau pun bila kita menghadiri pesta hari jadi, kita berpakaian segak yang sesuai untuk tujuan tersebut. Sudah tentu kita akan menjadi lebih yakin dengan diri kita sendiri. Mungkin juga ada diantara kita yang ingin menunjukkan suatu gaya baharu dalam penampilan kita semasa menghadiri pesta tersebut dengan mengenakan pakaian ranggi yang kita sendiri tak pernah mencubanya dan akhirnya pun kita jadi kekok untuk menggayakannya. Dan kita dengan sendirinya hilang keyakinan. Mungkin juga! Oleh itu cara terbaik untuk meningkat keyakinan diri ialah mengukur kemampuan diri kita dan kita puntampil dengan diri kita yang sebenarnya. Kita berpakaian dengan cara yang sememangnya menzahirkan kita yang sebenarnya. Tidak ada gunanya kita cuba melihat cara orang lain dan meniru mereka. Ini mungkin, seperti yang kita bincangkan tadi akan menyebabkan kita kekok dan akhirnya kita sendiri kehilangan punca. Walau bagaimana pun jika kita benar-benar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, kita sememangnya mampu untuk memakai sebarang pakaian dan tampil dalam sebagai gaya dan ianya tidak menggugat keyakinan kita. Bagaimanakah caranya? Menilai diri kita dan menilaikan implikasi dari perbuatan kita dan mempunyai setiap rancangan sebagai maklumbalas dari implikasi tersebut.Seperti yang kita ketahui, apabila kita mempunyai suatu kepercayaan dalam diri kita untuk sesuatu perkara tersebut, kita secara tidak langsung telah meletakkan suatu keyakinan dalam diri kita. Katakan kita percaya bahawa untuk berjaya kita haruslah mempunyai sifat-sifat kejujuran dalam setiap perbuatan kita, bermakna kita percaya, kita akan berjaya dengan berlaku jujur. Dengan itu, setiap kali kita berlaku jujur, sudah tentu kita akan menjadi bertambah yakin untuk berjaya mencapai sebarang matlamat kita. Begitu juga jika kita percaya bahawa setiap individu perlu berpakaian kemas untuk menjadi seorang doktor yang berjaya, kita akan menjadi bertambah yakin jika kita sendiri mengubah diri kita menjadi seorang yang sentiasa kemas. Apabila kita melakukan sesuatu perkara dengan berdasarkan kepercayaan kita, kita akan menjadi lebih yakin untuk memperolehi kejayaan dan menjadikan kita lebih gigih untuk berusaha. Cuba bayangkan jika kita percaya bahawa kejujuran merupakan suatu yang penting dalam merealisasikan impian kita tetapi seluruh kehidupan kita berbohong dan menipu? Apakah yang terjadi? Kita sudah tentu merasa bersalah pada diri kita dan kita sudah tentu menjadi tidak yakin kita boleh berjaya kerana kita melanggar kepercayaan kita. Jadi, apakata mulai saat ini kita lakukan suatu perkara yang menjadi sumber kepercayaan kita dan lakukan pekerjaan kita berpandukan nilai-nilai murni yang mendorong untuk menyumbang kebaikan kepada masyarakat dan negara. Mungkin juga apa yang akan menjadi cabaran kepada kita ialah… bagaimana pula jika kepercayaan kita bersifat negatif? Sudah tentu kita merasa serba salah dan merasa sangsi terhadap apa yang kita lakukan. Oleh itu dalam keadaan sedemikian, kita seharusnya menilai diri kita dan setiap perbuatan kita samada tindakan yang betul atau salah. Jika anda berpeluang membaca buku-buku yang menyentuh mengenai peribadi, personaliti dan pembangunan minda, kebanyakan penulis mengatakan bahawa kepercayaan merupakan sesuatu aspek rohaniah yang menjadi asas kepada kita untuk menilai susuatu perkara. Ianya banyak dipengaruhi oleh persekitaran kita dan cara pendidikan yang telah kita terima. Oleh itu, adalah mustahak bagi kita untuk terus berusaha meletakkan nilai-nilai murni didalam kehidupan kita dan seterusnya memupuk nilai-nilai tersebut supaya terus berkembang didalam diri kita dan selanjutnya dapat disalurkan untuk manfaat masyarakat. Bob Proctor dan Anthony Robbins didalam karya-karya mereka sering meyebutkan mengenai peranan serta kemampuan sebenar manusia terletak pada keyakinannya.

Untuk membina keyakinan diri, ramai ahli-ahli psikologi berpendapat bahawa kita mampu membina keyakinan kita melalui 'raptai minda' (mental rehersal) yang menggunakan keupayaan imaginasi untuk membantu kita merakamkan atau menggambarkan keadaan kita. Dengan cara ini, kita dapat membantu minda kita untuk melalui keadaan tersebut secara maya sebelum melakukannya secara realiti.

Katakanlah kita diarahkan untuk menjalankan kajian penyelidikan ke atas kesan racun serangga kepada manusia. Bagaimanakah kita akan menjalankan kajian tersebut? Jika kita memikirkan ianya sebagai sesuatu yang sukar untuk kita lakukan, kita secara tidak langsung akan memikirkan tentang aspek-aspek negatif mengenai projek tersebut. Tetapi apakata jika kita menganggap ianya sebagai sesuatu yang mudah dilaksanakan? Sudah tentu kita akan membayangkan kita akan mulakan eksperimen tersebut dengan secepat mungkin dan kita akan mendapat bantuan setiap agensi kerajaan atau swasta yang berminat untuk membantu kita melaksanakan projek tersebut. Kita akan bayangkan bagaimana kita dapat melakukan perkara tersebut dengan jayanya. Oleh itu adalah penting bagi diri kita untuk memerhatikan caranya otak kita berfikir. Jika kita sering menjadi seorang yang berfikiran pesimis, mungkin ada baiknya jika kita mula mengubah cara berfikir kita dengan suatu cara yang lebih optimis. Jika kita selama ini sering memikirkan tentang kegagalan, ada baiknya kita mula berfikir mengenai kejayaan.Salah satu cara terbaik untuk memulakan proses ini mungkin dengan mula menumpukan kepada perkataan yang sering keluar dari mulut kita sendiri. Apakata mulai saat ini kita mula berfikir untuk menjadikan setiap pertuturan kita dihiasi dengan bahasa-bahasa yang berbunyi optimistik. Kita boleh senaraikan pelbagai ayat-ayat atau pun perkataan yang membawa idea-idea yang positif dan kita boleh pilih perkataan-perkataan yang berbunyi positif ini dalam ayat-ayat pertuturan kita. Mungkin selama ini kita kurang sedar bahawa idea ini telah lama digunakan dalam kehidupan kita sehari-hari. Cuma mungkin akibat penggunaannya yang kadangkala dianggap sebagai bahasa terbalik, ianya menjadi disalah ertikan dan akhirnya diterjemahkan sebagai sesuatu yang negatif. Kadangkala saya teringatkan semasa kecil, kadangkala apabila saya bertandang ke rumah kawan-kawan saya kami menjadi leka sehingga terlupa nak balik makan. Kadang-kadang datang salah seorang orang tua kami yang menyuruh kami balik. " Bertuah punya budak, kat sini rupanya. Pergi balik makan kat rumah" Bukankah perkataan bertuah itu menunjukkan suatu yang positif. Dan bukankah kita juga sering terdengar bahawa perkataan kita kadangkala menjadi suatu do'a buat kita. Orang-orang tua sebenarnya sudah lama mengamalkan apa yang dikatakan sebagai pemikiran positif cuma mungkin oleh kerana kita hidup di zaman ada lampu letrik, ada komputer dan sebagainya, kita tak teringatkan orang tua kita yang sebenarnya makan garam dulu dari kita. Jadi bagaimana? Mungkin kita boleh cuba esok pagi kita tanamkan tekad untuk menjadikan hari esok sebagai hari yang positif bagi diri kita dan kita mula terapkan nilai-nilai optimistik dalam kehidupan kita. Kita pastikan setiap perkataan kita mempunyai nilai-nilai yang cenderung kepada nilai murni, kebaikan dan keyakinan. Kita gunakan intonasi yang boleh memperkukuhkan kata-kata kita serta penzahiran wajah yang lebih ceria. Mungkin kita kurang berjaya pada hari esok dan kita akan teruskan pada hari esoknya dan kita terus bertekad dan berazam serta sentiasa mencabar diri kita untuk terus menjadi seorang yang lebih optimistik dan individu yang lebih yakin. Mungkin teknik lain yang boleh kita gunakan setelah kita mahir dengan kata-kata positif ini ialah kita gunakan kemampuan pemikiran kita untuk mencapai tahap keyakinan diri yang lebih tinggi. Cuba kita bayangkan suatu keadaan dimana kita berjaya melakukan sesuatu dengan penuh kejayaan. Bagaimanakah keadaan kita ketika itu. Mungkin jika kita seorang penyanyi, kita bayangkan suatu pengalaman benar yang pernah kita alami yang menyebabkan kita benar-benar gembira dengan persembahan kita. Atau pun jika seorang pelukis, kita imbas kembali suatu ketika dimana kita berjaya menghasilkan suatu lukisan yang bermutu tinggi. Atau pun semasa kita belajar, bagaimana kita pernah menjadi pelajar terbaik di kelas kita. Secara amnya, kita mampu mengecapi kejayaan jika kita berada dalam suatu keadaan yang penuh tenaga, daya, keyakinan serta kecekalan. Semasa kita membayangkan kejayaan-kejayaan kita tadi, bagaimanakah perasaan kita semasa proses kita berusaha. Apakah yang kita percaya dan bagaimanakah ianya membantu mengukuhkan keyakinan kita? Apa yang pasti, keadaan-keadaan tersebut biasanya dapat meningkatkan tahap pencapaian kita kerana kita yakain dan kita telah membayangkan dalam fikiran kita bagaimana kita akan berjaya. Kita telah menumpukan seluruh pemikiran kita kepada perkara-perkara positif yang akan mendorong kita serta membantu kita mencapai kejayaan. Kita telah dapat menzahirkan kemampuan sebenar diri kita melalui keyakinan yang terbina dalam fikiran kita. Kita menjadi individu yang lebih optimis dan berjaya melakukannya. Seperti yang telah kita bincangkan sebentar tadi, apabila kita meletakkan pemikiran kita pada suatu keadaan yang mendorong kejayaan dan mengatakan pada diri kita bahawa kita mampu mencapai kejayaan, secara tidak langsung kita juga telah berkomunikasi dengan tubuh kita yang mengatakan bahawa kita mempunyai kekuatan untuk melakukannya. Dengan itu secara tidak langsung kita mempunyai daya semangat yang lebih tinggi dan apa yang lebih penting, kita sudah bersedia untuk berusaha dengan lebih gigih. Bayangkan jika semenjak awal lagi kita katakan kita tidak akan berjaya, sudah pasti kita siang-siang lagi telah kecundang sebelum berjuang. Setidaknya-tidaknya kita kecundang dari segi moral atau semangat dan kegigihan kita. Badan kita akan menjadi kurang bersemangat untuk meneruskan perjuangan kita dan kita mungkin merasa kita tidak akan berjaya lalu pemikiran kita mulai tertumpu kepada perkara-perkara yang menyebabkan kita tidak akan berjaya. Dengan memikirkan perkara-perkara yang menyebabkan kita berjaya dan terus berusaha untuk menjadikan kita individu yang mencapai matlamatnya, kita seharusnya sentiasa mempunyai tahap keyakinan tinggi yang sentiasa kita tingkatkan dari masa ke semasa. Untuk membina keyakinan didalam diri kita, kita boleh berfikir mengenai kejayaan-kejayaan dimasa lalu kita dan bertanya bagaimanakah ianya dapat kita lakukan. Kita harus mengenal pasti tentang faktor-faktor yang telah membantu kita untuk memperolehi kejayaan tersebut. Kita boleh terus mengisi kehidupan kita ini dengan nilai-nilai yang positif yang sentiasa menjadikan kita individu yang sentiasa berfikir untuk kebaikan. Kita tingkatkan kemampuan diri kita dengan meningkatkan kemampuan kita serta menambahkan keyakinan yang ada didalam diri kita. Kita akan menjadi lebih matang dan bertindak dengan pemikiran yang waras. Kita akan sentiasa melahirkan nilai-nilai kejujuran didalam diri kita dan mampu untuk mempengaruhi persekitaran kita untuk sama-sama menyumbang ke arah kebaikan.

Untuk mencapai kejayaan, kita haruslah mula merealisasikannya dan seharusnya kita sudah mula berusaha kearah itu. Kita tidak akan menghasilkan apa-apa jika kita hanya berdiam diri dan cuma berfikir sahaja. Oleh itu apa kata kita melihat konsep dan kaitan diantara pemikiran, idea dan perbuatan yang dapat memahamkan kita mengenai interaksi ketiga-tiga elemen ini. Apakah peranan ketiga-tiga elemen tersebut dan apakah yang mampu kita capai jika ketiga-tiga elemen ini digabungkan? Untuk tujuan itu eloklah kita meneruskan perbincangan ini melalui

PEMIKIRAN IDEA PERBUATAN

Seperti yang telah kita kupas sebelum ini, apabila pemikiran dipenuhi dengan perkara-perkara positif, kita mempunyai keupayaan yang lebih tinggi. Kita akan menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang mampu kita lakukan untuk meningkatkan kehidupan kita. Kita akan mampu untuk mengembangkan idea-idea pemikiran yang positif dan dapat kita zahirkan melalui perbuatan kita. Dan apabila kita terus melakukan perbuatan yang membawa kebaikan, tahap keyakinan didalam diri kita akan semakin berkembang. Melakukan sesuatu pekerjaan dengan secara berterusan dapat membantu menambahkan keyakinan kita.

Katakanlah kita ingin belajar memandu kereta. Bagaimanakah keadaan kita pada kali pertama kita memandu. Kita mungkin gugp, terketar-ketar, hilang tumpuan dan sebagainya. Kemudian kita akan terus diajar untuk mengawal kenderaan tersebut dan akhirnya kita berjaya menguasai cara-cara bagaimana kita perlu mengawal kenderaan tersebut. Setelah itu kita akan menjadi yakin dan bertambah yakin setelah kita terus berusaha dengan gigih hingga akhirnya kita yakin untuk mengambil ujian memandu. Mungkin dalam keadaan yang lain pula kita sememangnya mempunyai kecenderungan yang tinggi dan mempunyai bakat semulajadi dalam bidang senilukis. Kita juga mempunyai kemampuan yang mengatakan kita mampu menjadi pelukis terkenal. Secara tidak langsung kita mengatakan pada diri kita bahawa kita mempunyai keupayaan untuk menghasilkan lukisan bermutu tinggi dan keadaan ini pastinya akan membuatkan kita menjadi lebih beridea kerana keharmonian minda dan keupayaan bakat kita.Selanjutnya, ada baiknya kita melihat apakah yang kita katakan sebagai keupayaan pemikiran, keupayaan idea serta keupayaan perbuatan. Untuk itu, pertamanya kita perlunya melihat apa yang dinamakan keupayaan pemikiran. Keupayaan pemikiran kita merupakan suatu keupayaan yang kita bina didalam fikiran kita. Ianya merupakan keupayaan sebenar diri kita yang sering kali kita gunakan dalam setiap aspek kehidupan kita. Apabila kita melakukan sesuatu perbuatan, minda kits sksn mrnyatakan kemampuan kita. Minda kita akan menyatakan kemampuan tersebut dalam bentuk imej, bisikan, gambaran perasaan dan sebagainya yang akan disampaikan kepada kita. Minda pemikiran ini juga biasanya telah merancang apakah bentuk tindakan dan tindakbalas yang akan dilakukan oleh kita. Oleh itu, secara tidak langsung kita akan dapat bertindak atau melaksanakan perbuatan kita melalui mesej yang disampaikan melalui komunikasi minda kita kedalam diri kita. Keadaan ini merupakan suatu peringkat yang penting kerana ianya akan menentukan samada kita akan berjaya melakukan perkara yang kita fikirkan atau tidak. Jika dalam hal ini minda kita mengatakan bahawa diri kita tidak mampu, kemungkinan untuk kita gagal adalah tinggi. Dalam hal ini, kita perlu sentiasa membina minda kita untuk terus memikirkan secara optimis perkara-perkara yang kita jumpa dalam kehidupan kita sehari-hari supaya kita mempunyai keupayaan sebenar yang baik. Dan seperti yang kita bincangkan, kita ada mempunyai pelbagai kaedah untuk membina minda kita. Oleh itu apabila pemikiran yang telah disampaikan dalam diri kita untuk menentukan keupayaan kita, selanjutnya berlaku proses pencetusan idea. Pada peringkat ini melalui maklumat-maklumat yang telah dicetuskan oleh minda kita, kita akan mempunyai persepsi yang akan kita fikirkan sebagai idea (atau ilham). Idea kita ini akan mempengaruhi bagaimana kita akan bertindak. Apa yang dilakukan dalam peringkat ini ialah, akal kita akan memikirkan alternatif-alternatif yang akan kita gunakan dalam keadaan tersebut. Katakan kita ingin menerbitkan sebuah artikel yang berkisar tentang penggunaan robot dalam industri. Dan minda pemikiran kita menyatakan bahawa kita akan berjaya menyiapkannya dan mampu untuk menyiapkannya. Maklumat tentang kemampuan ini akan disampaikan ke dalam diri kita dan kita akan berfikir mengenai bagaimana caranya kita dengan jayanya akan menyiapkan artikel tersebut. Fikiran kita akan menjadi tertumpu kepada perkara-perkara yang mampu membuat kita berjaya mencapai matlamat kita. Hasil daripada fikiran tersebut, idea akan tercetus dan idea inilah yang akan dapat kita gunakan untuk meneruskan matlamat kita. Oleh itu jika kita mampu untuk terus membina minda ke arah yang lebih positif, kita akan sentiasa mempunyai idea untuk melakukan perkara tersebut hasil terjemahan dan komunikasi dari keupayaan pemikiran ke peringkat keupayaan idea. Setelah itu cara kita berfikir akan menjadi lebih tertumpu kearah kejayaan. Kita akan menghasilkan idea-idea yang menyokong tindakan kita untuk terus gigih berusaha merealisasikan apa yang kita fikir kita mampu lakukan. Sebab itulah dalam bidang sukan, ketahanan mental perlu kukuh dalam diri individu untuk terus menghasilkan idea-idea semasa perlawanan untuk menumpaskan lawan kita. Dengan itu kita menjadi lebih yakin untuk terus menghadapi saingan dari pihak lawan dan sentiasa terus memberi tentangan hebat.Kita ambil contoh pula suatu keadaan dimana kita berada di dalam suatu situasi dimana kita perlu menyampaikan ceramah mengenai kepentingan membaca didalam sesebuah masyarakat di sebuah sekolah rendah. Bagaimanakah keadaan kemampuan minda pemikiran kita ketika itu? Katakanlah kita merupakan seorang pegawai yang bertugas disebuah perpustakaan dan mempunyai maklumat-maklumat yang lengkap yang mudah kita sampaikan kepada orang ramai. Kita juga nmempunyai pengalaman lalu menyampaikan ceramah ditempat-tempat lain Sudah pasti minda kita akan menyatakan dalam diri kita yang kita mampu melakukannya. Hasil dari cara pemikiran kita, idea-idea dicetuskan dan kita akan menjadi semakin bersedia dengan sokongan yang dicetuskan melalui idea-idea kita. Kita tergambar bagaimana kita mula berdiri di hadapan para peserta ceramah yang ingin mendengar ceramah kita. Terlintas di fikiran kita apakah bentuk-bentuk fakta yang akan kita sampaikan. Kita bayangkan alat-alat pandang dengar yang akan membantu kita menyampaikan maklumat-maklumat tersebut dengan lebih berkesan. Bukankah kita menjadi seseorang yang lebih bertenaga? Bayangkanlah pula kita seorang yang tiada pengetahuan langsung tentang buku dan tidak pernah sebelum ini menyampaikan ceramah dimana-mana? Apa akan terjadi? Katakan timbul perasaan tidak yakin? Apakah bentuk idea yang kita cetuskan? Kita terbayang kita terketar-ketar ketika berada di hadapan peserta. Kita menjadi gugup dan tidak pasti apa yang akan kita katakan. Kita menjadi seakan-akan kehilangan punca. Kita terbayang bagaimana peluh dingin mula membasahi ketiak kita.Sebenarnya walaupun perkara ini sememangnya biasa kita alami, tetapi mungkin masih tidak sedar tentang peranannya sebagai pengukur kemampuan diri yang mampu membataskan pencapaian kita, ataupun kadangkala memberikan kesan jangka masa panjang terhadap pembentukan personaliti kita, penampilan kita dan sebagainya. Jadi apa kata mulai dari sekarang, kita perhatikan diri kita, serta bagaimana minda kita berfikir untuk menghasilkan idea-idea. Kita pastikan kita terus membina minda kita kearah kebaikan dan seterusnya menjadi individu yang lebih optimistik dalam perbuatan kita. Walau pun mungkin kita sememangnya kurang maklumat tentang sesuatu perkara tersebut, apakata kita tanamkan keyakinan bahawa kita akan berjaya dalam setiap pekerjaan kita. Bukankah ianya akan mencetuskan idea-idea hebat nanti?

Berbalik kita kepada topik yang sedang kita bincangkan, sebenarnya apabila kita mempunyai minda yang berpemikiran optimistik, seperti yang telah kita sama-sama bincangkan, ianya akan disampaikan kepada diri kita dan akhirnya mencetuskan idea. Idea-idea ini yang merupakan imbasan, gambaran, bisikan dan sebagainya mengenai apa yang kita boleh lakukan dan apa yang menjadi penghad dalam diri kita akan mempengaruhi gerak laku kita. Kita akan menafsirkan idea yang telah dicetuskan tersebut dan melalui penzahiran fizikal, kita kan melakukan perkara-perkara yang telah kita cetuskan sebagai idea tadi. Katakan kita yakin terhadap kemampuan kita untuk menghadapi ujian penggal pertama persekolahan kita, dan idea dicetuskan tentang bagaimana kita dapat menjawab soalan-soalan yang diberikan dengan penuh yakin, sudah pasti kita akan menzahirkannya semasa kita menjawab peperiksaan yang sebenarnya. Kita menjadi lebih tenang dan kemampuan diri kita menambahkan lagi keupayaan kita untuk memahami serta menjawab soalan-soalan yang kita temui. Idea-idea yang tercetus dari minda kita akan menyokong perlakuan kita dan akirnya menzahirkannya dalam pemikiran kita. Begitulah juga jika mempunyai pemikiran yang mengatakan kita seorang pekerja yang baik, apa yang pasti ialah secara tidak langsung minda kita mencetuskan suatu idea didalam diri kita bagaimana menjadi seorang pekerja yang berdedikasi dan akhirnya dizahirkan dalam diri kita melalui perbuatan kita sehari-hari.Oleh itu adalah penting kita menyedari peranan yang dimainkan oleh minda kita terhadap perlakuan serta pencapaian kehidupan kita. Kita sebenarnya mempunyai kemampuan yang kadangkala kita sendiri tidak sedari. Kadangkala kita mempunyai bakat semulajadi atau kecenderungan semula jadi yang selama bertahun-tahun hanya terpendam begitu sahaja tanpa benar-benar kita mengasahnya. Apakata setelah menghabiskan topik ini, kita mula melihat kearah diri kita dengan lebih serius dan mula membina semula keyakinan kita dengan menumpukan terhadap perkembangan minda kemampuan pemikiran kita serta memerhatikan idea-idea yang tercetus hasil dari minda pemikiran kita tadi yang akhirnya menghasilkan suatu perlakuan atau tingkah laku yang benar-benar akan mengubah serta meningkatkan pencapaian diri kita dalam kehidupan kita sehari-hari?